catatan peribadi

Menjadi diri sendiri

Posted on Updated on

Salam,

Penulis ini memiliki jiwa perindu.

Rindu menjadi dirinya sendiri.

Rindu pada nukilan yang penuh tulus tanpa berharap pujian.

Rindu untuk menulis dari lubuk hati rasa yang dalam.

Semenjak menerbitkan beberapa buku, memang aku sedari tulisanku sudah sedikit sebanyak terpengaruh memikirkan apa expectation orang lain dari tulisan aku itu. Pasti akan terfikir, akan ada orang baca tak tulisan ini? Ada orang sanggup beli tak?
Sedangkan satu zaman dahulu, aku tak pernah memikirkan expectation orang. Aku hanya menyampaikan. Yang aku mahu adalah berkongsi rasa dari jiwa yang tak seberapa ini, agar berkocaklah semangat orang yang membacanya, dan terinspirasilah jiwanya untuk bangun meneruskan kehidupannya penuh bersemangat.
Seringkali aku bertemu insan yang pernah terasa terbangkit dengan penulisanku. Paling terkesan adalah apabila beberapa ikhwah muda yang sering menyapa dan mengucapkan terima kasih, kerana katanya, ” Tulisan akak banyak menyedarkan saya.”

Di zaman itu, aku belum mengambil keputusan untuk berada di publik. Di waktu itu fikiranku hanya memikirkan untuk menggerakkan dakwah di tempatku bermastautin, united kingdom. Seterusnya memberikan semangat kepada adik-adik yang datang bertandang menziarahi di bumi Scotland itu untuk mengutip rasa hamasah dan semangat.

Tentu, fasa hidup yang bertambah usia ini mengubah persepsi dan cara kita melihat dunia. Aku pun sering ditampar-tampar dengan hakikat kehidupan sehingga kedu untuk menulis kelemahan diri di dada wordpress ini. Apabila dikenali, memang tidak dapat lari dari dinilai manusia. Satu aspek yang agak sukar untuk berbuat pada tahap itu adalah menjadi diri sendiri.

 

Menjadi diri sendiri ini bermakna, mengakui kelemahan dan ketidak pandaian dalam aspek kehidupan. Mahupun kegagalan yang amat dimalu dikongsi, namun hakikatnya kegagalan itulah yang menciptakan citra hidup yang begitu pelangi sekali dalam kehidupan ini.

 

” Akak , tak semua orang positif macam akak.”

” Akak, tak semua orang tahu apa yang mereka nak buat dalam kehidupan mereka macam akak.”

 

Jujurnya, barangkali apa yang aku tulis dalam buku aku itu merupakan sisi kebaikan yang ditonjolkan disebalik pengalaman yang begitu mendukacitakan.

Jujur, aku mahu katakan pada mereka, aku pun tidak pasti jalan apa yang aku lalui ini. Aku tidak pasti adakah penghujung hayatnya itu berbuah kebaikan, ataupun kerugian. Yang pasti, aku luruskan niat, agar walau gagal sekalipun langkahku ini, pasti sekali berbuah pahala.

Banyak yang aku mahu kongsikan, namun penulisanku kali ini ingin memberitahu kalian pembacaku yang setia, yang mengenaliku sejak 10 tahun yang lampau ( wow! Membesarnya kita semua!) bahawa penulisanku kali ini akan beranjak dewasa serta berubah dimensinya.

Dari persoalan tarbiah dan fikrah, akan aku kongsikan erti kata kehidupan dari kaca mataku sendiri, yang terlibat dengan penglibatan dakwah sejak berada di Malaysia.

Juga tindakan yang aku ambil sepanjang hayat aku di sini.

Aku mahu ia diabadikan di sini sebagai pedoman. Barangkali bermanfaat buat kamu, agar kamu alirkan ilmu dan pengalaman ini buat generasi akan datang. Jika sempat, barangkali mampu dibukukan, jika tidak, jadilah ia mutiara yang menjadi rujukan pada kesempatan yang tidak pernah enggan.

Buat followerku yang setia, kalianlah sumber inspirasi saya untuk terus menulis!

Advertisements