Dunia sudah berubah, bagaimana pula dengan kita?

Salam.

Dunia blogging juga sudah berubah. Dahulu begitu ramai mencari input dari blog untuk pengisian jiwa mereka. Kini, dunia sudah mula mencari sesuatu pengisian dengan cepat dan mudah. Maka YouTubelah menjadi pilihannya.

I guess ramai juga struggle sekarang untuk menulis konten berbisa yang mampu ‘hook’ orang membacanya. Malah anak usrah saya sendiri struggle untuk membaca lebih dari 30 minit sehari. Blog saya? Bertuah juga jika mereka sekali sekala membuka dan membacanya.

Moga negara merah di atas mampu bertukar menjadi hijau selepas ini..

Tidak seperti belasan tahun yang lampau di mana kami bertaut kasih dan membina inspirasi menerusi penulisan. Maka penulisanlah tempat kami mengayam kasih dan mengugah idea baru membina gagasan dalam perjuangan dakwah.

Barangkali penulisan saya juga turut mengikat ilmu-ilmu yang dipelajari lewat usrah mahupun bacaan buku.

 

Kini, segalanya kelihatan begitu malap dan hambar. Walaupun suara kebangkitan sering berkumandangan untuk memberikan peringatan, barangkali kerana desakan dan tekanan begitu dahsyat di negara ini, sesuatu yang drastik harus dilakukan dengan segera. Menukar pemerintahan merupakan agenda utama, termasuk penyiapan melahirkan kepimpinan negara baru yang lebih amanah dan cekap mengurus tadbir negara ini.

 

Kefahaman dakwah yang dipelajari lewat pelajaran buku tarbiah sendiri harus mampu diterjemahkan ke atas waqie negara yang sama sekali sekala berbeza setiap penggerak dakwah menafsirkannya. Pada tahapan yang sama, desas desus bahawa penggerak dakwah di Indonesia mahupun di Mesir juga mengalami kemalapan yang sama.

Jumlah ahli terlalu ramai dan terlalu cepat diterima menjadikan sistem tarbiah dan penyusunan tanzim mengalami kepincangan tersendiri. Walau usaha pembaikan tetap ada, namun tentu memerlukan masa dan tenaga berterusan.

Apabila melihat perkara ini, aku sendiri terketuk dan harus menerima dengan realiti yang perit bahawa realiti dakwah tidaklah seperti yang diharapkan. Bekerja dalam sebuah kumpulan yang besar, kita harus terutama sekali menurunkan keegoan dan pendapat peribadi, serta cuba mencari titik pertemuan dan persamaan. Perlu lebih banyak mendengar dari memberi pendapat. Malah jika kita nak sesuatu perkara dilakukan, kita perlu terima perkara itu akan mengambil masa untuk diputuskan. Kerana itu ramai anak muda akhirnya suka bebas bekerja sendiri tanpa terikat dengan mana-mana jemaah, kerana itu lebih mudah can cepat buat mereka.

Namun, tentu ada kebaikan pada jemaah walaupun ada kelemahan yang harus sama-sama ditampal.

Jemaah tidak pernah sempurna. Namun, dalam ketidak sempurnaan itu, jemaah membantu kita menjadi manusia sempurna, hanya apabila kita benar-benar menghidupkan tiga rukun usrah yang Hasan Al-Banna sentiasa sebutkan.

  1. Taaruf
  2. Tafahum
  3. Takaful.

 

Tafahum itu berlaku apabila saling menasihati. Taaruf itu menghasilkan cinta. Takaful itu manifestasi hubungan kasih sayang teramat erat.

Benar, golongan salafi, ilmuan, malah pendakwah terkemuka jarang mahu terikat dengan jemaah/NGO gerakan dakwah. Malah, ramai berkomentar akan kepincangan sistem usrah yang jemaah NGO ini bawakan. Apatah lagi mereka datang dari background syariah, malah bertalaqi dan menuntut ilmu dari ulama besar dari Mekah/Madinah/Jordan, apalah yang ada sangat pada kader dakwah yang hafalan Quran sendiri masih tergagap, malah barangkali tidak menguasai kitab-kitab popular Imam Hadis sekalipun.

Dahulu barangkali kader-kader dakwah mampu merasa yakin bahawa kefahaman dakwah mereka lebih kebal berbanding ilmu-ilmu yang dimiliki oleh para pelajar dari timur tengah. Namun, kita sendiri melihat kecairan ramai kader dakwah ini, terutama yang berlatar belakangkan ilmu pendidikan sains. Apabila mereka bekerja, mereka tidak lagi berkesempatan untuk menambahkan ilmu agama mereka sendiri. Pekerjaan mereka sendiri tidak menambahkan suasana keilmuan. Usrah sendiri hambar. Daurah terkadang hampir tiada. Masa yang ada disibukkan dengan mesyuarat dan agenda perubahan masyarakat.

Maka, apabila diminta mengisi tazkirah mahupun ceramah, tidak mampu mereka menandingi asatizah dari latar belakang syariah yang lain. Maka jemaah dakwah ini hilang magnetnya menarik potensi insan lain ke dalam jemaah.

Beza jika kader dakwah itu memiliki sumber keilmuan begitu mendalam sekali. Hasan Albanna, Abdul Qader Audah, Imam Maududi, kesemua mereka memiliki magnet ilmu tersendiri. Mereka ada substance yang unik bagi menarik orang mengikuti mereka. Begitu juga jika di kawasan Asia, Ustaz Anis Matta, Burhanudin Helmi, Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Dahlan, juga beberapa asatizah dari IKRAM mahupun ISMA, sebahagian mereka ada kualiti ilmu begitu mengagumkan.

Ilmu itu, apabila digabungkan dengan khazanah dakwah, maka ia mampu melassokan ramai anak muda bekerja di dalam jemaah dakwah mereka.

Ironinya, anak muda penggerak dakwah, amat kurang sekali sebegitu. Ramai antara kita berada dalam background medik dan engineering. Apabila dah begitu menjurus dalam bidang perubatan, maka tumpuan lebih kepada pekerjaan di hospital mahupun research-research yang begitu mengambil masa. Apabila sudah berkeluarga, maka di situ tumpuan harus diberikan.

Maka, bila saatnya engineer dan para doktor ini mampu menjadi ilmuan yang dapat menjadi magnet kepada orang baru masuk ke dalam jemaah dakwah?

Akhirnya, terpaksalah dikorbankan masa dan tenaga, untuk menguasai ilmu quran, hadis, sirah, fiqh, dakwah, syariah dan lain-lain. Begitu juga harus berusaha untuk menghafal al-Quran dan hadis yang popular.

Ada juga mengatakan biarlah para doktor ini fokus kepada ilmu kedoktoran dan berdakwah di bahagian itu. Namun, jujurnya telah dicuba perkara itu, namun tidak setinggi kemanisan apabila kita mampu menguasai ilmu Islam dan menjuarai kefahaman itu di dalam masyarakat.

Dunia sudah berubah.

Mad’u kita sendiri pun. Kita tidak lagi dapat menjadi jaguh usrah apabila diri kita tidak ditingkatkan secara eksponensialnya. Pangkat di tempat kerja kita makin meningkat. Duit kita makin membiak. Rumah dan kereta semakin bertambah. Namun, itu bukanlah tarikan manusia kepada dakwah kita. Dakwah kita tetap menjadi tarikan dan perhatian kerana ‘content’ yang kita bawa, disamping keikhlasan begitu tinggi untuk melihat agama Allah ini ditegakkan di atas muka bumi ini.

Perjuangan kita semakin mencabar, kita melawan bukan sahaja mehnah dari pihak luar, namun dari dalam diri kita juga. Bekerja dalam jemaah yang besar, tentu mencabar berbanding jemaah yang lebih kecil. Masing-masing dengan kelebihannya. Cuma terfikir, jika negara Islam dapat ditegakkan, bukankah kita bertanggungjawap kepada jutaan manusia lain di negara-negara tersebut. Mampukah kita?

Sungguh, tempat akhiratlah kerehatan sebenar. Selagi nyawa masih dikandung badan, selagi nafas ini berhembus, selagi itulah dunia merupakan tempat perjuangan teramat mengasyikkan sekali.

 

Moga kita semua beroleh syurga insyaallah.

Muharikah

21 Syawal 1438H

Advertisements