Hormati Guru

Ada seorang guru yang amat saya hormati dan kagumi semenjak saya di sekolah menengah lagi. Walaupun sudah belasan tahun, kami masih lagi berkawan rapat dan berutus khabar. Setiap tahun, pasti kami akan beriktikaf di masjid UIA di malam-malam terakhir di hari Ramadhan.

Dari dia, saya mempelajari sesuatu yang besar, bukan sekadar ilmu untuk pass exam saya waktu itu ( dia mengajar kimia), tapi ilmu tentang kehidupan itu sendiri.

Dialah merupakan guru usrah saya yang pertama, mengenalkan saya akan tujuan hidup dan kepentingan untuk berbuat sesuatu yang besar dalam kehidupan ini.

Begitu banyak pengorbanannya untuk mendidik saya, dari sudut masa, wang dan tenaga. Dari dia, saya belajar untuk bersabar, menghormati dan menghargai orang lain..

Begitu dekatnya dia pada jiwa saya sehingga apa sahaja pelajaran yang pernah dia ajar, meninggalkan bekas di jiwa.

Selepasnya, ada ramai guru-guru yang hadir dalam kehidupan saya, menyempurnakan pembelajaran saya tentang kehidupan ini. Dari keberkatan ilmu mereka itulah, saya menjadi seperti diri saya yang sekarang.

Untuk jadi orang yang hebat dan berjaya di dunia, kita tak boleh bergantung pada usaha kita semata-mata. Kita sangat perlukan keberkatan ilmu pada guru-guru kita. Kita sangat perlukan keredhaan mereka. Yang memiliki ilmu bukanlah kita, tetapi Allah. Allah akan memberikan ilmu itu pada hambaNya yang dikehendaki.

Itu bermula dengan menghormati guru dan mendapatkan keredhaan mereka.

Peranan ibu bapa – harus sinergi dengan guru.

Ibu bapa sangat memainkan peranan yang besar dalam menanam sifat hormat anak-anak mereka terhadap guru mereka. Benar, tidak semua guru sempurna. Tapi pada setiap guru itu ada ilmu yang harus kita hormati. Jika ada kekurangan, gunakan medium perbincangan untuk membincangkan kaedah pembelanjaran yang terbaik untuk anak-anak. Ibu bapa dan guru harus bersatu dan bekerjasama dalam mendidik anak-anak. Kedua pihak harus berbincang dan membudayakan sikap bersatu padu dalam mendidik generasi muda negara kita.

Generasi berjaya, adalah generasi yang tinggi ilmu dan budaya akhlak mereka.

Didikan bermula dari rumah. Didikan disenergikan di sekolah. Disempurnakan di madrasah/usrah. Bagi melahirkan generasi berjaya, sangat perlu ibu bapa menanam budaya hormat pada anak-anak yang tinggi pada orang tua dan guru. Guru pula seharusnya mampu menjadi rakan yang disenangi oleh anak murid. Para pelajar harus terbuka dan merendah diri dalam menerima pembelanjaran guru mereka.

Jika kita mahu membina sebuah negara maju, ia bermula dari pendidikan anak-anak.

Ibu bapa memberikan sentuhan kasih sayang yang melembutkan jiwa anak-anak. Guru-guru memberikan sentuhan akal dan ruhani untuk membangunkan jiwa mereka.

The dream begins with a teacher who believes in you, who tugs and pushes and leads you to the next plateau, sometimes poking you with a sharp stick called “truth.” ~Dan Rather

The mediocre teacher tells. The good teacher explains. The superior teacher demonstrates. The great teacher inspires. ~William Arthur Ward

Tiada kekayaan lebih utama daripada akal. Tiada kepapaan lebih menyedihkan daripada kebodohan. Tiada warisan yang lebih baik daripada pendidikan. Dan tiada pembantu yang lebih baik daripada musyawarah.
~ Saidina Ali

Moga lahirlah generasi anak muda yang hebat apabila anak muda kita menghormati guru mereka, gurumenginspirasikan para pelajar serta sokongan ibu bapa yang memberikan kasih sayang dan dorongan bagi mereka terus berjaya.

Leave a comment