Malam wasilah ke syurga…

Posted on

mwks2.JPG

Poster Malam Wasilah Ke Syurga anjuran adik-adik di moscow dan Volgo. Makluman lanjut boleh hubungi syuqaira_ahmad@yahoo.com atau nurulh188@yahoo.co.uk

Lailatul Qadr

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan
ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu
hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan
meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah
kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan
Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan,
rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan
diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan
rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita
lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga
serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di
tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan
mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan
mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia,
justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati
kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu
malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang
mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya
kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan
kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang
sangat dikenali dengan Lailatul Qadr – atau diterjemahkan sebagai
malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya
Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan
apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam
Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu
bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan
mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya
pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu
hingga terbit fajar!” (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut
juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah
mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang
yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya
dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: “Malam al-
Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan” (Surah al-Qadr,
ayat 3).

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr
———— ——— ——— ——–

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat
menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain
adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak,
supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT
mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi
Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak
sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah
memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang
nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan
kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya
terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang
diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat
Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis
Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai
nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah
kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang
dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda
kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan
seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal
kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun
empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari
dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu.
Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan
teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga
agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak
mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di
masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan
tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain
yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang
sering Baginda baca ialah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami!
Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di
akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang
pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk
memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan
langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan
Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan
yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha
melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun
kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap
manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan
kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda
maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan
dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah
yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya
———— ——— ——— –

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku
Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan
agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka
tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan
setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah
dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan
kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir.
Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan
nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka
daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-
Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran
pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan
rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga
dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada
suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan
Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk
seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan
malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap
makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang
untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini
hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat
mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan
malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun
ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang
pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada
kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam
yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini
berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab yang
diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu’awiyah yang
diriwayatkan Abu Dawud. “Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah
Lailatul Qadar itu pada malam 27.”

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar
dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30
kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada
pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam
al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr
terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata
Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan
darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam
27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat
bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10
malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis
daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Carilah
sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada
akhir Ramadan.”

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu
kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila
malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis
Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu
berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar
supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam
Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap
malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr
———— ——— ——— ——

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah
bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang
dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan
sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan,
didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan
dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan
pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu
bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan
bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak
panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya
pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang
beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat
sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar
akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga
keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata
yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah
sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut
———— ——— ———

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang
paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT,
apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-
perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar
dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan
mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr,
hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w
ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya
Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan
beriktikaf, ramai di kalangan ulama’ cenderung mengatakan bahawa
malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh
kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan
tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah,
tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat
oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat
ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat
———— ——— ——— ——— ——— ——–

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu
amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu
khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga
dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani
proses beriÒ€ℒtikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan
moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan,
masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang
mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani
jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang
mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang
dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr
———— ———

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan
Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat
Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas
Solat Ba’diyah Isya’. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran
atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya
berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku
Risalah Qiyam Ramadan) :

“Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w
bersabda :’Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya
mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan
dosa-dosa yang telah lalu’ – [Hadith riwayat kedua Sheikh dari
hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat
beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

“Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada
malam tersebut ialah : bersolat Isya’ berjemaah, Solat subuh
berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :”Barangsiapa yang
bersolat Isya’ berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam,
dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia
bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan
lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami’ Saghir – 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan
tambahan-tambahan di dalam waktu Isya’, adalah sebagaimana yang
diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

“Barangsiapa yang solat Isya’ berjemaah bagaikan berqiyam separuh
malam, dan barangsiapa bersolat Isya’ dan Fajar bagaikan ia
berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama – 6342).”

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul
Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala
amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal
yang solih, Insya Allah. Amin ya rabbal al-amiin..

Advertisements

One thought on “Malam wasilah ke syurga…

    nurulhayati said:
    October 5, 2007 at 1:50 pm

    assalamualaikum ya Ukhti…:)

    kak Aisyah…semoga kita sama-sama manfaatkan malam-malam terakhir hadiah dari Allah utk kita semua…semoga kita beroleh redha dari-Nya….amin ya Rabbal Alamin…

    p/s: tQ ye utk poskad tu…hehe…suka sangat! jzkk…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s