blur – setelah direpair

Posted on

assalamualaikum,


mula2 saya buat cerpen blur tu, kasi kat beberapa org utk koomen, banyak gaks la yang dikomen, menunjukkan ketidakexpertan diri in dalam menulis. masih amatur. setelah itu saya telah pun mengubah dan menambah beberapa perkara ke dalam cerpen tersebut supaya lebih sedap dibaca dan sampai maksud kepada pembaca.

pun begitu, cerpen ini masih gharib dengan kesalahan dan cacat cela. walau apapun, saya berharap agar cerpen ni bermanfaat buat semua…

Blur
Oleh:Manfira Aula

Blur. Kosong. Tiada arah. Begitu sikap otaknya kebelakangan in. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba dia merasakan dirinya hilang arah tujuan. Sedangkan sebagai orang mukmin dia tidak seharusnya begitu.’Orang mukmin itu hidupnya adalah untuk sembah Allah,menjadi khalifah di muka bumi ini… ‘, begitu kata ibu saban hari sewaktu masa remajanya, jika dia berasa malas untuk bersolat jemaah di surau mahupun untuk menyertai aktiviti kebajikan di kawasan kampung.Ustaznya turut mengatakan kepadanya di dalam kelas agama mereka. Berulang kali ustaz menyebut, menjadi rutin yang janggal ditinggalkan.’Allah berfirman : Wa maa Khalaqtul Jinna Walins Illaa Liya’buduun.. Tidak aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk menyembah aku , surah Az-Zariyat ayat 56…’ Begitulah ayat yang ustaz selalu baca sebelum memulakan kelas, ditambah dengan huraian yang pelbagai. Dia mendengar tanpa jemu. Berfikir tanpa rasa.Apabila hijrah termaktub dalam kanvas sejarahnya, dia bertemu dengan sekumpulan pemuda yang sangat soleh. Lebih soleh dari sahabat-sahabatnya di sekolah agama dahulu. Detik kakinya menjejakkan tanah di kepulaun British ini, dia disambut meriah oleh mereka, seolah-olah mereka ibarat rakan lama. Mereka membawanya ke rumah untuk bertamu nasi dan lauk malaysia. Tidak kempunan dia akan gulai asam pedas ibu di kampung. Ibu kata rajin-rajin masak di negara orang. Masih tersemat resepi ibu di dalam poket sewaktu permergian dia ke negera baru. Bukan orang Johor jika nasi tidak bergulaikan asam pedas!Dari kenalan biasa, mereka menjadi sangat intim sehingga ke mana-mana sahaja mereka pasti bersama.Walau mereka bukan sebaya namun dia berasa sangat selesa bersama mereka. Apatah lagi duduk di negara orang tanpa keluarga yang boleh berkongsi rasa suka dan payah di situ. Pada dia, merekalah abang dan sahabat. Dari mereka, dia mula berjinak-jinak secara serius untuk mendalami Islam. ‘Keluarga’ barunya itu sering membawanya ke ‘study circle’ bersama orang-orang muslim di situ. Pada masa yang lain mereka akan mengajaknya untuk membuat ‘study circle’ bersama rakan-rakan malaysia yang lain. Dia dilayan seperti seorang adik yang istimewa. Dan dia sangat suka menjadi istimewa. Belajar tafsir, hadis dan sirah menjadi mudah baginya. Tidak berasa terpaksa seperti di sekolah agama dahulu.Jika dahulu, dia ke sekolah agama tanpa rela, kini dia berasa suka untuk menuntut ilmu di mana sahaja. Bukan sahaja kerana setiap kali selepas ‘study circle’ mereka pasti dijamu percuma, tetapi kerana dia sangat suka akan suasana kasih sayang yang wujud di dalam majlis sebegitu. Bayu ukhuwah sering menyelubungi kalbunya dan perasaan itulah yang sering menjadi teman dan penguat hatinya untuk meneruskan perjuangan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Khalifah Allah? Apakah itu sebenarnya? Sering benaknya berfikir, namun abang-abangnya sering menyebut, ‘Itu adalah tugasan kita untuk mentadbir alam ini,memastikan segala yang hidup di dunia ini berputar pada paksi yang satu iaitu pada Allah Taala semata-mata’.

Dia blur, tetapi mengangguk tanpa faham. Bagaimana sebenarnya untuk melaksanakan perkara itu? Kenapa kita perlu buat benda itu? Otaknya masih nakal untuk bertanya, sanubarinya terlonjak-lonjak mahukan jawapan. Namun mulutnya sering berkunci kerana dia tidak mahu memalukan dirinya sendiri.

Dia tahu Allah ciptakan manusia untuk menyembahNya semata-mata, tidak yang lain. Dia tahu benda itu, tetapi kenapa dia tidak dapat rasakan benda itu? Kenapa dia tidak merasakan apa sahaja yang dibuat adalah merupakan manifestasi ibadahnya kepada Allah? Tidak berimankah dia? Tidak ikhlaskah dia? Apa makna iman? Apa makna ikhlas?

Cukup! Cukup! Bentaknya sendiri. Dia perlu hentikan soalan-soalan itu. Dia tidak mahu pening sendiri. Apa yang dia mahu adalah untuk merasakan apa sahaja yang dipelajari. Dia tidak mahu banyak ilmu namun langsung tak rasa apa-apa. Main ikut sahaja apa yang dia tahu. Perasaan itu penting!

Dia masih termangu-mangu di atas meja belajarnya. Haba elektrik yang sudah dipasang penuh tidak mampu melawan kedinginan cuaca di hari itu. Hawa dingin itu masih mampu menyelit ke dalam biliknya melalui celahan pintu dan tingkap. Dia melihat keluar jendela dan memerhatikan rintik-rintik salju turun memutihi seluruh daerah tempat dia bermukim. Indahnya melihat salju namun perit apabila memegangnya. Memegang salji adalah seperti memegang ais yang diambil dari peti ais. Sejuk yang mencengkam.

Apa ada pada salji? Tentu banyak yang Allah mahu manusia belajar dari salji. Dia sangat seronok bertemu dengan salji. Bermain-main dengan kepulan ais. Mengambilnya dan membalingnya ke tanah. Dia selalu melihat di dalam filem orang barat, mereka bermain-main dengan salji, membuat orang salji dan berdamparan di atas salji terutama sewaktu perayaan hari Krismas. Sudah lama dia berkeinginan untuk memegang salji. Bermain dengan salji walaupun dia tahu perasaan itu wujud kerana salji tidak pernah ada di negaranya sendiri. Abang-abangnya mengatakan salji di tika itu belum tebal. Belum lagi memasuki musim sejuk yang sebenar. Apabila salji sudah tebal dan marak, barulah dapat membuat orang salji, dan di tempat peranginan bolehlah bermain sukan salji. Abang-abangnya tidak suka pada salji. Lecak mereka kata. Orang sudah lama melihat salji, bolehlah berkata sebegitu, tidak sepertinya yang masih naïf akan suasana hidup di UK ini.

Hari ini dia tidak berniat untuk keluar bermain salji. Seronoknya cuma sementara. Dia perlu memakai pakaian tebal dan sarung tangan yang kalis air jika mahu bermain. Jika tidak tangannya akan bengkak kesejukan. Lagipun salji turun agak lebat, dia lebih rela duduk di dalam bilik dan belajar untuk persediaan peperiksaan akhir tahunnya.

Salji mengingatkan dia akan dosa dan pahala. Tentang hati manusia. Salji itu putih,bersih dan sempurna, sedangkan hati manusia yang bergolak sering bercampur aduk antara kekotoran dan kebersihan. Jika manusia dapat gambarkan ketulan hati mereka seperti seketul ais, tentu mereka mahu hati mereka seputih ketulan ais itu. Kerana putih itu indah. Jika diambil ketulan ais yang telah bercampur tanah, tentu mereka tidak akan bermain dengan ais tersebut, kerana pada sudut pandangan cetek manusia, ais sebegitu adalah kotor dan tidak sempurna. Namun ramai manusia tidak mampu mengambil perumpamaan dan pelajaran dari sejumlah besar ciptaan Allah.

Buku termodinamik terkuak luas dihadapannya namun dia masih memikirkan persoalan yang besar di benaknya. Dilihat jam di tangan. Dhuha masih ada. Dia mengambil wudu’ dan membentangkan sejadah. Bersiap sedia untuk menyempurnakan dua rakat sunat buat Rabb. Berikanlah aku hidayah untuk merasai imanMu Ya Allah! Bisiknya dalam hati. Dia ingin bertemu dengan jawapan kepada setiap persoalannya.

Setelah munajat yang panjang pada Allah, dia duduk berteleku dan berfikir. ‘Berfikir itu lebih baik daripada ibadah selama 1000 tahun’, ungkap salah seorang abangnya di satu ketika. Dia berasa sangat tenang apabila bercakap dengan Allah. Mencurahkan segala keresahan dalam hatinya. Dia rasa lapang. Dan dia rasa Allah berada bersamanya ketika itu.

Akhirnya dia bertemu jawapan kepada semua persoalan-persoalannya. Dia tahu banyak perkara tentang Islam tetapi dia tidak merasakan kepentingannya. Dia laksanakan apa yang dia tahu namun dia masih berasa belum puas. Seperti seorang ilmuwan kristian yang belajar tentang al-Quran namun tidak pernah beriman kepada Allah.

Akhirnya ilham itu muncul. Ya, dia tahu sekarang bagaimana untuk merasai apa yang dia tahu. Dia tahu bagaimana untuk merasai kemanisan iman itu.

Diambilnya buku ‘Kumar and Clark’ yang berada di sisi katilnya. Dibukanya halaman tengah secara rawak. Dibacanya beberapa perenggan.

Serum calcium levels are mainly controlled by parathyroid hormone (PTH) and vitamin D. Hypercalcaemia is much more common than hypocalcaemia and is frequently detected incidentally with multichannel biochemical analysers.

Dia cuba memahami dengan hati,namun gagal. Dia memahami dengan akal. Walaupun terpaksa membaca berulang kali namun dia faham juga akhirnya. Tutup. Diambilnya novel pemberian kakaknya pula, ‘Life of Pi’. Dia membaca untuk beberapa ketika. Dia terleka. Menghayati setiap bait ayat dengan penuh perasaan. Patutlah ramai orang mengantuk bila membaca buku akademik tetapi mampu berjaga malam untuk menghabiskan novel. Ditutupnya novel tersebut dan diambilnya al-Quran yang berada di sisi.

Dibacanya beberapa ayat dalam surah Az-Zariyat termasuk ayat ke 56 itu. Dia membaca maknanya sekali. Kali ini,buat pertama kalinya, dia membaca dengan hati. Sukar pada mulanya, namun dia terus mencuba. Membayangkan bahawa Allah menurunkan Al-Quran itu pada dia. Merasakan Allah berkomunikasi dengannya.

Dia terus membaca dan menghayati makna dari Al-Quran tersebut sehingga benar-benar meresap ke dalam hatinya. Perlahan-lahan, air matanya turut bergenang, perasaannya turut basah dengan keinsafan. Kenapa tidak dia rasakan sebelum ini? Membaca tanpa memahami,mendengar tanpa menghayati. Sedangkan ini kalam Allah! Jika dia dapat menghayati novel sampai menangis-nangis,mengapa tidak untuk kitab Allah? Dia kaget akan dirinya. Mahu salahkan siapa jika dia sendiri tidak menyedarinya?

Namun dia tahu, dia perlu membuat perubahan dalam hidupnya. Membaca Al-Quran dengan hati, memahami dan menghayatinya. Bukan sekadar bacaan di mulut dan faham dengan akal. Sistem pendidikan yang pernah dilaluinya mengajar dia untuk mengetahui ayat-ayat Quran, bahkan menghafal beberapa surah dalam kitab Allah tersebut. Namun tidak langsung memberi penekanan untuk memahami ayat al-Quran yang dibaca, apatah lagi untuk mengamalkannya.

Hattakan di dalam halaqah ilmu yang dihadirinya, walaupun sering ketua halaqah membaca beberapa ayat lazim dan mengarahkan mereka untuk merujuk ayat tersebut, namun dia masih tidak dapat merasainya. Diakah yang berhati batu? Ataupun membaca tanpa ilmu?

Oleh kerana itu, dia berazam untuk memanfaatkan kuliah tafsir yang sering diadakan oleh imam di masjid. Dia akan belajar juga sirah, dengan itu dia akan faham bagaimana al-quran itu diturunkan. Al-quran diturunkan kerana peristiwa yang berlaku di dalam sirah Rasulullah. Dia mahu memahami Al-Quran seperti mana sahabat-sahabat Rasulullah memahami Al-Quran. Mereka faham kerana mereka melalui peristiwa-peristiwa tersebut. Seperti contoh peristiwa Isra Mikraj, digambarkan dalam surah Al-Isra’. Kisah perempuan yang menghadapi masalah dengan suaminya dirakamkan di dalam surah al-Mujadalah. Serta banyak lagi peristiwa yang dirakamkan di dalam sirah yang membantu kepada pemahaman al-Quran.

Begitu juga dengan ilmu-ilmu yang lain,bukan sekadar menjadi hiasan di dalam buku catatan, tetapi dapat diterjemahkan ke dalam kehidupan. Itulah dengan memahami dengan perasaan apa yang diketahui. Bukan tersimpan dalam akal semata-mata. Itu yang membezakan antara kafir dan muslim.

Kini sudah dia fahami akan tujuan hidupnya di dunia ini , ‘Tidak Aku ciptakan manusia melainkan untuk menyembah Aku.’ Dan dia benar-benar merasakan itu dengan hati. Bukannya dengan beribadah secara rutin pada Allah tetapi turut memenuhi hak-hakNya. Akan dia jadikan seluruh kehidupannya, dari bangun tidur sehinggalah dia tidur kembali, sebagai ibadah kepada Allah, dengan melakukan sesuatu hanya kerana Dia. Tidak susah, cuma manusia sering dilalaikan oleh hawa nafsu dan syaitan yang sering mahu menariknya ke neraka dan azab Allah.

Dia turut faham akan makna khalifah di atas muka bumi ini. Diselaknya halaman al-Quran dan didapatinya ayat yang dikehendaki. Dia membaca dengan kuat. Mahu ayat itu turut bergema dalam hatinya dan meresap ke dalam pembuluh darahnya. Dia mahu hidup berpaksikan ayat ini.

‘Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.’

Ya, khalifah! Tugas yang membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain. Tugasan yang hanya sanggup dipikul manusia, bukan umat yang lain. Tanggungjawab yang meninggikan martabat dan nilai manusia di alam semesta ini. Namun cuma secubit manusia memahami dan melaksanakan amanah ini. Ruginya hidup jika tidak memahami akan tujuan kedatangan hidup di atas dunia ini.

Memang sukar menafsir makna khalifah kerana khalifah membawa makna yang luas. Khalifah menggesa manusia untuk memastikan diri terpimpin, ahli keluarga terpimpin, orang bawahan terpimpin, rakan-rakan terpimpin dan kemuncaknya, seluruh makhluk ini terpimpin di bawah syariah Islam dan ketundukan kepada Allah. Akhirnya diri manusia ini diredhai Allah dan mendapat balasan syurga di akhirat nanti. Apa lagi yang mahu dicari manusia selain dari redha Allah? Untuk menanggung tugasan khalifah ini, jatuhlah tugasan untuk mengajak manusia kepada Islam. Seperti mana yang berlaku kepada Abu Dzar. Beliau hanya belajar tentang Islam dari Nabi selama tiga hari sahaja. Kemudian dia pulang menemui kaumnya dan berhasil mengislamkan mereka keseluruhannya. Itulah sepatutnya contoh khalifah yang perlu diteladeni.

Dia menyorot realiti masyarakat barat yang sering dilihatnya. Ramai rakannya yang sering tertekan dan ada yang bunuh diri kerana tidak menemui apa yang dikehendaki di dalam hidup. Di dunia barat, segala-galanya menuju kepada kepuasan hawa nafsu dan kehendak material. Agama mereka tidak dapat menyuluh kehidupan mereka yang kelam dan sempit. Islam datang untuk mengkhabarkan kepada manusia bahawa mereka mempunyai dua tugasan utama, dan dengan memahami keduanya, manusia akan merasai kepuasan dan ketenangan yang tiada tolok bandingnya.

Dia kini sudah faham dan mengerti. Fikirannya sudah tidak kosong lagi.

Advertisements

3 thoughts on “blur – setelah direpair

    siha said:
    December 13, 2005 at 7:59 pm

    aisyah,cerpen ni sgt best.cerpen cam ni lah yg aku cari.aku terharu 🙂

    siha said:
    December 13, 2005 at 8:01 pm

    best,best!

    syazack said:
    December 14, 2005 at 12:12 am

    hehehee.. siha, copy and fwdkan pada sesapa yang ko kenal…. 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s