salam,
baru sempat browse trhu utusan page setelah beberapa hari buta berita… ternampak tajuk menarik ni … kilk
tentang perubahan yang bakal berlaku lagi di negara tercinta Malaysia.
Pelik bukan, perubahan sistem pendidikan di malaysia menjadi polemik yang tidak janggal menjadi tajuk berita akhbar utama di dalam negara. Isu yang penting ini diperdebatkan dan diperbincangkan namun gagal mendapat satu kata sepakat yang konkrit serta formula yang ampuh yang mampu melahirkan ramai insan-insan yang sepatutnya mahu dijadikan sebagai pelapis generasi akan datang bercorak dinamis dan kreativis.
Kita rakyat Malaysia yang setia dan baik, sentiasa memerhatikan perkara ini dari luar. Memerhatikan antara sedar mahupun tidak. Membaca serta menafsirkan keadaan ini lebih banyak dengan fikiran dari mata hati yang bersih dan tenang. Ramai memerhatiakn dengan perasaan geram mahu merubah dan berbuat sesuatu. Namun lebih ramai membaca dan mengetahui perkara ini dengan pintasan sambil lewa, tanpa memikirkan perkara ini dapat memberi kesan jangka masa panjang yang membahayakan ummah.
Hakikatnya, isu pendidikan adalah isu paling utama ditangani sebelum isu-isu lain di dalam sesebuah negara itu. Menerusi pendidikan ummah dapat dibentuk dan diacu. Dengan pendidikan, perubahan serta proses revolusi itu dapat berlaku. Fabrik sejarah telah terlukis, kejayaan sesuatu bangsa itu bergantung kepada sistem pendidikan yang ada di dalam sesebuah negara itu. Maju mundur negara itu adalah kerana sistem pendidikan yang ada di dalam negara itu.
Maka, sebagai mahasiswa yang mempunyai mata hati serta pemikiran Islam yang bertsaqafah, kita tidak harus merasakan isu pendidikan di dalam negara adalah isu enteng yang hanya layak ditangani oleh mereka yang bergelar guru mahupun pendidik ataupun politikus yang mempunyai kuasa mengacu dan mengubah sistem itu. Malah kita harus bersedia dari detik kita berada di luar negara ini, bergelar sebagai mahasiwa berdaya intelek,berwawasan jauh serta berwibawa tinggi kerana kita adalah mahasiswa terpilih. Yang diekstrasikan dari jutaan pelajar lain di tanah air dan kita adalah mereka yang paling berakal celik dari mereka yang lain.Kelebihan ini yang seharusnya kita sedari dan inilah yang patut kita gunakan dengan seoptimanya.
Oleh yang sedemikian itu, walaupun kita akan menceburui bidang profesi masing-masing, kita tidak dapat tidak harus mempunyai visi yang luas dalam mahu mengubah sistem pendidikan yang ada di dalam negara. Kita harus mempunyai cita-cita untuk turut menyumbang kepada sistem pendidikan negara, Kita tidak boleh mengenepikan peranan kita mahupun menjadi pak turut dengan mengiakan sahaja pendapat sesiapa yang pandai bersuara. Sudah terlalu lama kita membiarkan orang menentukan serta mencorakkan pemikiran kita serta memprovokasikan minda kita dengan ideologi-ideologi Barat yang menyesatkan. Sistem pendidikan negara masih gagal dalam membuang penyakit hedonisme serta mencabut akar kebrobrokan akhlak di dalam masyarakat. Walaupun berulang kali sistem pendidikan diubah dengan perbelanjaan yang bukannya murah, Malaysia masih gagal melahirkan manusia berakhlak insaniah yang berdaya saing serta mampu menjadi generasi mandiri yang boleh menjadi suara besar di dalam masyarakat seantero dunia.
Sudah terlalu lama kita bergantung kepada Barat, sudah terlalu lama kita membiarkan perkara ini berlaku.. Sampai bila kita mahu biarkan sistem ini menjadi korup seperti mana korupnya sistem-sistem yang lain? Jika mahasiswa bijak pandai dihantar ke luar negara untuk menjadi cendekiawan yang hanya menghadap buku tanpa mempunyai perasaan untuk membawa perubahan yang besar di dalam masyarakat, alangkah ruginya masa muda kita. alangkah ruginya akal yang diberikan oleh Allah. Usah kita bercakap untuk mengubah sistem akhlak yang mengalami artikulasi psikosis dalam zulmat budaya yang kacau, jika kita tidak merasa perlunya kita mengubah sistem-sistem yang sedia ada.
buat para doktor, jangan cukup hanya berfikir mahu menyuntik manusia dengan ubat dan mencari duit yang banyak utk keluarga
buat para jurutera, jangan cukup hanya berfikir untuk menjadi pegawai biasa dalam syarikat dengan hanya masuk keluar pejabat.
buat para akauntan, jangan cukup hanya berfikir mahu memecahkan kepala untuk menyeimbangkan akaun syarikat sampai ke dini hari
buat para guru, jangan cukup hanya berfikir untuk mengajar anak murid hanya di dalam kelas semata-mata dan pulang dengan goyang kaki sahaja…
Namun bercita-cita tinggilah, dan pasanglah visi yang menggunung langit! Kerana Fathi Yakan pernah berpesan lembut pada kita dalam bukunya ‘Generasi Pemuda’ :
Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional…
Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:
‘Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.’
raihlah peluang masa muda ini untuk memerhatikan keadaan sekeliling. Pekalah dengan isu-isu yang berada di sekeliling kita. Sedarlah dengan mata hati yang bersih bahawa kita berperanan sangat besar dalam masyarakat jika kita mahu memberi signifikasi kepada mereka. Jika kita tidak memasang niat untuk menjadi ejen perubah dalam masyarakat, kita tak akan dapat berbuatnya apabila kita terjun dalam kancah masyarakat nanti. Peringkat mahasiswa adalah peringkat mencerna ilmu dan memasang cita-cita. Perubahan tidak akan berlaku jika kita tidak menyedari apa yang perlu diubah. Perubahan tidak akan dapat dilakukan oleh mereka yang berhati lemah dan rendah cita-citanya. Maka wahai mahasiswa Islam sekalian, sucikanlah hati, mantapkan kefahaman Islam dan bercita-cita tinggilah!Sesungguhnya adakah cukup bagi kita untuk hanya melalui pintu syurga sedangkan kita mampu meraih Jannatul Firdausi?
2:193. Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah.
Wallahualam..
Kurangkan subjek peperiksaan mampu tingkat kecemerlangan
KUALA LUMPUR 21 Mac – Cadangan Kementerian Pelajaran bagi mengurangkan mata pelajaran dalam peperiksaan awam mampu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negara ini.
Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Malaysia (PKPPM) melihat langkah tersebut membolehkan pelajar dan guru menumpukan kepada mata pelajaran yang mampu membangunkan modal insan.
Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng berkata, sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan bersama dengan satu lagi cadangan iaitu tumpuan kepada mata pelajaran kemahiran maka hasrat untuk membangunkan modal insan di negara ini akan tercapai.
“Sudah sampai masa untuk sistem pendidikan negara dikaji semula agar ia lebih tertumpu kepada pembangunan sahsiah diri bagi membekalkan modal insan yang diperlukan negara.
“Cadangan Kementerian Pelajaran adalah baik dan NUTP menganggapnya sebagai sesuatu yang positif,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, sistem pendidikan yang ada sekarang dipenuhi lambakan mata pelajaran yang membebankan guru dan pelajar.
Malah katanya, ibu bapa turut meletakkan harapan yang tinggi kepada anak-anak mereka untuk mengambil mata pelajaran yang banyak.
Sederhana
“Kalau itu dilakukan kepada kumpulan pelajar cemerlang tidak apa tetapi kalau ia melibatkan pelajar sederhana dan lemah sudah pasti ramai yang tercicir,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, penggantian sistem penggal kepada semester walaupun dianggap positif tetapi masih memerlukan kajian lanjut.
Menurutnya, semester persekolahan perlu diselaraskan dengan semua institusi pengajian tinggi dan ia perlu dipastikan agar tidak menjejaskan musim peperiksaan pelajar.
“Sebelum ini sudah ada pihak yang mencadangkan agar sekolah menggunakan sistem semester kerana faedah segera yang boleh ditunjukkan ialah lebih ramai keluarga boleh luangkan masa bersama,” jelasnya.
Namun katanya, NUTP tetap mahukan satu kajian menyeluruh dilakukan terhadap penggantian sistem cuti berkenaan.
Kementerian Pelajaran sebelum ini bercadang untuk mengkaji semula sistem penilaian yang dilaksana oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebagai langkah awal bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak lagi terlalu berorientasikan peperiksaan.
Kajian di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan itu turut mencadangkan agar sistem penggal digantikan dengan sistem semesta di samping mengurangkan mata pelajaran yang perlu diambil dalam peperiksaan awam.
Sementara itu, Yang Dipertua PKPPM, Azam Atan berkata, cadangan pengurangan mata pelajaran peperiksaan sudah lama dilaksanakan di beberapa negara maju dan ia terbukti berkesan.
Sistem tersebut katanya, mampu mengimbangi antara pencapaian ilmiah, jati diri serta kemahiran lain dalam diri pelajar itu sendiri.
“Memang pelajar yang pencapaiannya seimbang dalam semua aspek yang kita mahu bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan,” katanya.





salam kak aisyah.. mm.. rasanya kene delete kot spam2 yg kt atas ni… (tindakan segera diperlukan)
salam.. kak aisyah, i really2 suggest you to use spam blocker.. macam dah bermaharajalela je spam2 kt blog ni..
salam amar, jzkk, dah buang dah spam tu… biasanya memang takde, allahualam kenapa masih ada…huhuhuhu